Pages

Khamis, 15 November 2012

hukum memelihara binatang peliharaan...



Harus hukumnya memelihara binatang peliharaan seperti burung dan seumpamanya di dalam sangkar untuk melihat kecantikan atau mendengar kemerduan suaranya dengan syarat binatang tersebut diberi makan dan minum dan tidak dizalimi.

Di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim ada riwayat tentang saudara Anas bin Malik yang digelar Abu Umair (أبو عمير) ada memelihara burung yang bernama al-Nughair (النُّغَيْرُ – seekor burung kecil). Suatu hari burung itu mati, lalu Abu Umair (masih budak) sedih dengan kematian burung kesayangannya itu. Lalu Nabi saw bergurau dengannya sambil bertanya: “Wahai Abu Umair, apa yang terjadi kepada al-Nughair.?”

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini di dalam Fath al-Bari berkata: “Hadith ini telah dijadikan dalil atas keharusan mengurung burung (memeliharanya di dalam sangkar), kerana Nabi saw tidak mengingkari perbuatan Abu Umair.”

Al-Syeikh Abdul Azizi Abdullah bin Baz pernah ditanya dengan soalan ini:

“Apakah hukum orang yang menghimpunkan burung di dalam sangkar agar anak-anaknya bergembira/berhibur dengan burung-burung tersebut?”

Jawapan beliau: “Tidak mengapa perkara itu, jika disediakan kepada burung-burung tersebut keperluannya seperti makanan dan minuman, kerana asal dalam perkara ini adalah halal, dan tidak ada dalil yang menyatakan sebaliknya setakat pengetahuan kami.” (Fatawa Ulama’ al-Bilad al-Haram, m.s. 1793)

Para ulama al-Lujnah al-Daimah berkata:

“Menjual burung yang cantik seperti burung kakaktua atau burung yang berwarna-warni dan burung kecil (البلابل) kerana suaranya adalah harus, kerana melihat dan mendengar suaranya perkara yang harus, tidak terdapat nas syara’ yang mengharamkan menjual dan memilikinya. Bahkan terdapat dalil yang boleh difahami akan keharusan mengurungnya jika diberi kepadanya makanan dan minuman dan apa yang sepatutnya. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada hadith Anas bin Malik, katanya:

قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا ، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ، قَالَ : أَحْسِبُهُ فَطِيمًا وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ
 
Maksudnya: “Nabi saw adalah seorang yang paling baik akhlaknya dan aku punyai seorang saudara yang dipanggil Abu Umair, aku mengira dia seorang budak yang sudah berhenti susuan, dan apabila Nabi saw datang, baginda akan bertanya: Wahai Abu Umair, apa yang telah dilakukan al-Nughair?” Nughar (sejenis burung kecil) yang dimain oleh Abu Umair…” al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Syarhnya kepada Sahih al-Bukhari “Fath al-Bari” ketika menyebut beberapa faedah dari hadith ini berkata: “pada hadith ini adalahnya keharusan seorang budak bermain dengan burung, harus ibu-bapa meninggalkan anak kecil mereka bermain dengan apa yang diharuskan mereka bermain, harus menafkahkan sejumlah harta untuk keseronokan anak kecil dari perkara-perkara yang harus dan harus mengurung burung di dalam sangkar atau seumpamanya….” (Fatwa al-Lujnah al-Daimah, 13/38-40)

Wallahu a’lam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

(c)2009 .. Based in Wordpress by wpthemesfree Created by Templates for Blogger

Related Posts with Thumbnails