sekadar gambar hiasan..takde kene mengena ngan cerita di bawah..hehe... |
“Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.
Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.
“Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulong.
Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya
turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.
“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang.
Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila.
Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian
terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.
“Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat!
Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan
tawa anak-anaknya. “Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju
berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya kembali
bila isterinya terpacul di belakang pintu.
“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa
minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut.
“Fail saya kat depan tu mana?”
“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”
“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail
tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di
hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. Suasana sepi
kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia
tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya.
“Laila” Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.
“Saya nak ke out station minggu depan.”
“Lama?” Soal Laila.
“Dalam seminggu.”
“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?”
“Budak-budak?”
“Ikut jugalah.”
“Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu”
“Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih
berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari
keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan
di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku.
Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak
minta ganti rugi. ” Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana.”
“Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad!
Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke
kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil
hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan
rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula
untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.
“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!”
“Manalah saya ada masa..” “Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka
pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya. “Kalau tak suka
pulangkan balik!” Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa
tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya
itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan
pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma.. “Mizi, makan!”
Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan
ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.” “Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak
keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya. “Tak boleh panggil
papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”
Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.
“Awak masak apa?”
“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.
“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”
“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.
“Keluar!”
“Mama dah masak Pa!”
“Awak saja makan!”
“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”
Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai
mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati
langkah papanya keluar dari ruang makan. “Kenapa sekarang ni papa selalu
marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi
nasi. “Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.” “Abang tak suka tengok
papa marah-marah..” “Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam
gorilla kan ?”
Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila
menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya
hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?
Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
“Laila..” serunya
“Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat
kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni
sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
“Sunyi pulak rumah ni mak,”
“Lama-lama kau biasalah.”
Airmatanya menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa
terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia
rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.
“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.
“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”
“Tak ada lah?”
“Ingat papa ni cop duit?”
Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika
kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang
bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi
hidangan minum petang.
Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang
tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya. “Awak tak sihat ke?”
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.
“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.
Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan
berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman
tercegat.
“Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba
duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan
anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.
Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis.
Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.
“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”
Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam
pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat
kekasaran suaminya terhadap anak-anak.
“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan.” Ujar Laila perlahan
“Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya?
Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam
ni. Panjat sana , kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.
Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya
anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di
matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri.
Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata
yang bukan-bukan terhadap mereka.
“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam?
Rimas betul duduk dalam rumah ni.” Laila menyuruh anak-anaknya bermain
di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton
dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca
pecah. “Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.
“Abang!”
“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.
Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah
seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang
pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada
lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang
di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.
Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.
“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk. “Kak
Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.”
Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti
Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati.
Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia
perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia
beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat
gred yang lebih baik dari A. “Laila”
“Papa nak ke mana
hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau
bayang isterinya yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi. Dating ye?”
“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan
untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.
“Ikut boleh?”
“Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya
terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi
akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan
bujang. “Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun
bawak kami.”
“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. ”
“Papa pesanlah..”
“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.
“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”
“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”
Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”
“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.” “Mama tanya sikit
boleh?” Dia mengangguk “Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan
anak-anak?”
Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang
membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan
sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal.
Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain
tarik-tarik alas kainnya.
“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.
Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun
nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak
kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan
tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila.
Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan
Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila
cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang
lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan
anak-anaknya pada rakan-rakan.
“Kalau tak suka pulangkan!”
Kata-kata itu semakin keras di
fikirannya. Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah.
Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di
meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya
tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan
perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian. “Kamu semua
ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!” Laila
merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa
menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum
menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat
melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya.
Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu
masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga
tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik! Selama ini
Laila tak pernah lupa..
“Kalau tak suka pulangkan,”
Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak
pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat
anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan
lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya
bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak
bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat
rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang
terselit di rumpun bunga.
Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila
Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.
Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila
pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah
kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun
untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal
dilahirkan dua bulan lagi..
0 ulasan:
Catat Ulasan