wafiy tengah mandi...hehe... |
ADAKAH ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan
kemudaratan pada kesihatan? Ramai kalangan masyarakat Malaysia
mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah
kesihatan.
Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh
mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan
tentang isu ini?
Dr. Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan
kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan
daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.
Katanya, mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun
badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan
masalah kesihatan lain.
"Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan
buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan
sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang
mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit
ini," kata beliau.
Menurut Dr. Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.
"Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus
berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi
dengan air sejuk boleh membantu.
Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?
Kata Dr. Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah
panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan
kemudaratan.
"Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang
mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia
membersihkan badan daripada bakteria dan virus.
"Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga,
pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan
mandi". Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan
penyakit kulit dan juga bau badan.
"Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan,"
katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih
sihat, selain membersihkan bakteria daripada permukaan kulit.
"Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita
menggunakan sabun antibakteria," katanya dan menerangkan prinsip yang
sama pada amalan membasuh tangan.
"Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan
terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu
malam," kata beliau.
Ekzema
Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi
kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan. Tiada ubat bagi masalah
ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.
"Bila kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang
mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus
pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan," terang Dr. Tan.
Katanya, rawatan bagi kulit yang kering adalah dengan membuatkan kulit
mengandungi air dan cara yang terbaik dengan berendam ketika mandi dan
menggunakan losyen pelembab selepas itu.
"Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering.
Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air daripada kulit.
"Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang ada masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit," terangnya.
Jadual kerja ketat
Ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana
jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang bermasalah bila berjauhan
dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada.
Pengamal perubatan, Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat
menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.
Ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya
pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi
kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.
"Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang
pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita. Ia juga boleh
mengganggu keyakinan dan produktiviti kita," kata beliau.
Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?
"Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini.
Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air paip.
"Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar serta menggunakan
perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada
waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin
mengundang pelbagai bahaya seperti binatang berbisa dan juga bahaya di
sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita daripada mandi
waktu malam.
"Kini kita semakin maju dan mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik.
Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu
sebelum ke tempat tidur," kata beliau.
Pemulihan badan
Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merehatkan otot badan.
"Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat.
Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan
ketahanan fizikal dan emosi.
"Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana
ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan
termasuk mendatangkan penyakit," katanya.
Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?
Kata Hassan: "Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang
sihat". Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang
roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan
kesan yang segar kepada seseorang itu.
"Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur)," tambah beliau.
Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.
Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.
0 ulasan:
Catat Ulasan